nuffnang ads

17 April 2011

TAKABBUR MAKSIAT PERTAMA

     Takabbur adalah perkataan berasal dari bahasa arab yang seerti dengan angkuh, bongkak, sombong, riak, tinggi hati, besar diri. Takabbur itu juga ibu kepada sifat-sifat mazmumah (buruk) yang lain.

     Mahluk yang bersifat takabbur pasti dilaknat Allah. Sebagai contoh, iblis yang enggan mengikut suruhan Allah untuk sujud kepada Nabi Adam. Si iblis enggan sujud kepada Nabi Adam adalah kerana iblis merasa lebih mulia, iblis dicipta dari api sedangkan Nabi Adam dari tanah. Keengganan itulah maksiat pertama mahluk kepada Allah.

    Para ulama menjelaskan tiga ciri utama individu yang takabbur;
1. Merasa diri lebih baik
2. Menghina orang lain
3. Menolak kebenaran

    Menurut Imam al-Ghazali, punca takabbur itu terbahagi kepada dua. Pertama takabbur dalam urusan agama, yang kedua takabbur dalam urusan dunia. Takabbur dalam urusan agama pula terbahagi kepada dua iaitu: 1. takabbur kerana ilmu, 2. takabbur karana amal. Takabbur dalam urusan dunia terbahagi kepada lima iaitu keturunan, kecantikan dan ketampanan rupa, kekuatan dan keperkasaan tubuh badan, pengaruh dan kuasa serta kekayaan harta.

     Tanda-tanda seseorang itu takabbur antaranya ialah:
1. Tidak suka berdoa
2. Sukar memberi dan meminta maaf
3. Memotong cakap orang lain
4. Gila kuasa dan jawatan
5. Cara berpakaian dan berjalan yang angkuh
6. Gila pujian
7. Tidak suka berziarah

    jelasnya, sifat takabbur ini perlu dibuang kerana ia sangat bertentangan dengan sifat kehambaan yang wajib ada dalam diri manusia. Keberkatan ilmu dan kekuatan amal menjadi senjata yang ampuh untuk mengikis sifat tercela ini.

"HARI YANG TIDAK BERGUNA HARTA BENDA DAN ANAK PINAK KECUALI MEREKA YANG DATANG KEPADA ALLAH DENGAN HATI YANG SEJAHTERA". (Surah Asy-Syu'ara' 88-89)

Dipanjangkan dari Masjid Al-Hidayah Telok Panglima Garang.