nuffnang ads

18 August 2011

Mengintai Lailatul Qadar di Akhir Ramadhan


Lailatul Qadar merupakan satu malam pada bulan Ramadhan yang lebih baik daripada seribu bulan. Ada pendapat mengatakan Al-Quran di turunkan oleh Allah melalui Jibril dari Luh Mahfuz ke Baitul Izzah dilangit dunia pada malam ini secara sekaligus. Selepas itu barulah Al-Quran diturunkan secara beransur-ansur kepada Nabi Muhammad SAW selama 23 tahun. Ada pendapat lain pula mengatakan bahawa Al-Quran mula diturunkan kepada Rasulullah pada malam Lailatul Qadar.

Pada malam ini, Allah menurunkan Jibril dan para malaikat ke bumi untuk membawa keberkatan dan mendoakan kesejahteraan ornag-orang mukmin yang beribadat kepadaNya. Selain itu, Jibril dan para malaikat turut membawa perkara yang ditakdirkan akan berlaku pada masa hadapan.

Allah Azza Wajalla berfirman di dalam surah Al-Qadr ayat 1-5 maksudnya :
1. Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada malam Lalilatul Qadar,
2. Dan engkau mengetahui apa (kebesaran) malam Lailatul Qadar itu?
3. Malam Lailatul Qadar lebih baik daripada seribu bulan.
4. Pada malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut);
5. Sejahteralah malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar.

Allah mengulang perkataan Lailatul Qadar sebanyak 3 kali bagi menunjukkan kebesaran dan kemuliaan malam ini.

Bila berlakunya malam Lailatul Qadar?
Para Ulama' berbeza pendapat tentang waktu berlakunya Lailatul Qadar. Terdapat beberapa hadith Rasulullah SAW boleh dijadikan panduan, iaitu :

*Salah satu malam daripada 10 malam terakhir


Daripada Aishah r.a bahawa Rasulullah SAW bersabda :
Maksudnya : Carilah Lailatul Qadar di sepuluh malam terakhir bulan Ramadhan.

*Salah satu daripada 7 malam terakhir


Maksudnya  : Seorang sahabat Rasulullah bermimpi di dalam tidurnya pada 7 malam terakhir bulan Ramadhan. Maka Rasulullah bersabda : Aku berpendapat mimpimu itu menepati 7 malam terakhir. Sesiapa yang ingin mencarinya (Lailatul Qadar), maka carilah di 7 malam terakhir.

*Malam  yang ganjil antara sepuluh malam terakhir iaitu 21,23,25,27,29

Daripada Aishah r.a bahawa Rasulullah bersabda :
Maksudnya : Carilah Lailatul Qadar di malam ganjil antara sepuluh malam terakhir bulan Ramadhan.
Hikmah Allah tidak memberitahu secara jelas waktu berlakunya Lailatul Qadar ialah supaya umat Islam memperbanyakkan ibadah pada bulan ini, tidak tertumpu pada malam-malam tertentu sahaja. Imam           Al-Qurtubi  telah menyatakan bahawa Lailatul Qadar boleh berlaku pada mana-mana malam dibulan Ramadhan kemungkinan di awalnya atau pertengahan atau diakhir Ramadhan. Pun begitu, Kita dituntut memperbanyakkan ibadah pada 10 malam terakhir sebagaimana yang dilakukan oleh Rasulullah SAW.

Kelebihan Lailatul Qadar


1. Lailatul Qadar bererti malam kemuliaan iaitu malam nuzul (turun) Al-Quran.
2. Beramal pada Lailatul Qadar lebih baik daripada 1000 bulan yang lain.
3. Setiap doa dimakbulkan  kerana diaminkan oleh para malaikat.
4. Ibadat diberi ganjaran pahala yang berlipat ganda.
5. Diampunkan dosa orng yang memohon dengan ikhlas.
6. Rahmat Lailatul Qadar sehingga terbit fajar pagi.
7. Jibrail mendoakan kebahagian orng yang beribadat.

Sekarang datang waktunya. Ramadhan datang!

Kita puasa, kita tarawikh, kita baca Al-Quran, kita qiamullail, kita jaga silaraturrahim, kita banyakkan sedekah, kita memberi makan orng berbuka puasa, kita ikhlaskan hati dalam beramal.

Dipanjangkan dari Masjid Al Hidayah Telok Panglima Garang